Kuala Lumpur, 30 Jun 2026 - PMB Investment Berhad (PMB Investment), sebuah Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) di bawah Pelaburan MARA Berhad, dengan sukacitanya mengumumkan pengagihan pendapatan bagi PMB Shariah ESG Global Equity Fund sebanyak 34.31% bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026, pemulihan yang ketara berbanding prestasi -7.66% pada tahun sebelumnya.
PMB Shariah ESG Global Equity Fund mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 0.55 sen seunit, berjumlah keseluruhan RM799,551.17. Nilai Aset Bersih (NAB) seunit sebelum agihan adalah RM0.1926 diselaraskan kepada RM0.1871 selepas agihan. Agihan ini, yang dikreditkan kepada para pelabur korporat dan runcit berdasarkan tarikh selepas 30 April 2026, mewakili hasil sebanyak 3.84% berdasarkan NAB penutup seunit.
En. Hang Tuah Amin Tajuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, mengulas tentang prestasi cemerlang tersebut, "Kepercayaan para pelabur adalah pendorong utama kami, dan agihan yang lebih baik tahun ini mencerminkan komitmen kami terhadap nilai jangka panjang yang mampan. Pulangan sebanyak 34.31% ini membuktikan kejayaan pendekatan kami menerusi strategi Nasdaq Dorsey Wright, iaitu sistem analisis berasaskan momentum yang mengenal pasti syarikat patuh Shariah global terbaik dengan ciri-ciri ESG yang mantap. Walaupun pasaran tidak menentu, kami berjaya mencatatkan pemulihan yang ketara ini menerusi pengurusan portfolio dan risiko yang berdisiplin.”
PMB Shariah ESG Global Equity Fund, yang dahulunya dikenali sebagai PMB Shariah Mid-Cap Fund, bertujuan untuk memberikan pelabur Malaysia pertumbuhan modal jangka sederhana hingga panjang melalui portfolio ekuiti global yang dipelbagaikan, dan terdiri daripada syarikat-syarikat patuh Shariah dengan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kukuh. Dana ini sesuai untuk pelabur yang mempunyai toleransi risiko tinggi yang ingin memanfaatkan pertumbuhan ekuiti antarabangsa.
Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman, Pengerusi PMB Investment Berhad, berkata, "Prestasi Dana ini membuktikan keupayaan PMB Investment dalam memberikan pulangan jangka panjang yang kompetitif tanpa berkompromi dengan prinsip Shariah dan integrasi ESG. Kami kekal fokus dalam membangunkan nilai jangka panjang bagi para pelabur kami, berlandaskan integriti dan tadbir urus yang kukuh.”
Di samping prestasi pelaburan, kini PMB Investment meneroka peluang dalam ekosistem kredit karbon dan inisiatif lain yang dipacu kelestarian sebagai sebahagian daripada strategi ESG jangka panjangnya. Mengintegrasikan kewangan yang bertanggungjawab, pemeliharaan alam sekitar dan impak sosial, syarikat ini berusaha untuk mewujudkan nilai yang mampan bagi pelabur, komuniti dan generasi akan datang.
Sejajar dengan komitmen ini, PMB Investment bakal melancarkan sebuah filem pendek mengenai Kesedaran Autisme bagi mempromosikan pemahaman dan penerimaan terhadap individu dalam spektrum autisme. Menampilkan seorang kanak-kanak autisme sebagai salah seorang bakat utamanya, inisiatif ini menonjolkan dedikasi PMB Investment dalam memupuk masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin.
Pelabur boleh mula melabur dengan PMB Investment secara mudah melalui EZForm di laman web www.pmbinvestment.com.my, dan dana boleh dipindahkan melalui FPX.
Untuk maklumat lanjut berkenaan dana termasuk fi dan risiko, sila layari www.pmbinvestment.com.my atau hubungi 03-4145 3900.
-TAMAT –
Info Korporat:
PMB Investment, sebagai anak syarikat Kumpulan Pelaburan MARA yang bernaung di bawah MARA Corporation Sdn Bhd, beroperasi sebagai Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC). Ia menguruskan 18 dana unit amanah, 3 dana borong dan portfolio pelaburan dalam kelas aset ekuiti dan sukuk.
PMB Investment komited dalam menyediakan penyelesaian pelaburan patuh Shariah berinovatif kepada pelabur runcit, borong dan institusi.
Maklumat lanjut mengenai produk PMB Investment, layari www.pmbinvestment.com.my.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
MAYA LIZA MOHAMED
Komunikasi Strategik
Pelaburan MARA Berhad
Tingkat 2, Wisma PMB, No 1A Jalan Lumut
50400 Kuala Lumpur
T: 03-4145 3827
M: 019-2646971
mayaliza@pelaburanmara.com.my
50400 Kuala Lumpur