Kuala Lumpur, 14 Mei 2025 - PMB Investment Berhad (PMB Investment), sebuah Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) di bawah Pelaburan MARA Berhad, hari ini mengumumkan agihan pendapatan bagi PMB-An-Nur Waqf Income Fund untuk tahun kewangan berakhir 30 April 2026. Dana ini telah mencatatkan pulangan tahunan terlaras (annualised yield) sebanyak 5.89%, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu penyelesaian pelaburan berasaskan wakaf bagi pelabur di Malaysia.
PMB-An-Nur Waqf Income Fund mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 4.00 sen seunit, berjumlah keseluruhan RM1,231,603.60. Nilai Aset Bersih (NAB) seunit sebelum agihan adalah RM0.7148, diselaraskan kepada RM0.6748 selepas agihan.
Mengulas tentang prestasi dana ini, Hang Tuah Amin Tajuddin, CFA, Ketua Pegawai Eksekutif, PMB Investment berkata, “PMB-An-Nur Waqf Income Fund terus kukuh dan relevan dalam persekitaran pelaburan yang sentiasa berubah. Prestasi kumulatif lima (5) tahun sebanyak 72.27% bersamaan pulangan tahunan purata 14.45% bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026, membuktikan pendekatan pelaburan yang sistematik oleh pasukan kami serta keutamaan kami terhadap aset patuh Syariah mampu menjana hasil yang baik. Melangkah ke hadapan, PMB Investment kekal komited untuk meningkatkan tawaran berasaskan waqf kami, meluaskan akses kepada seluruh rakyat Malaysia, dan memastikan pelaburan beretika terus menghasilkan nilai yang nyata kepada para pemegang unit dan orang ramai."
PMB-An-Nur Waqf Income Fund merupakan dana amanah saham patuh Syariah yang menerapkan konsep wakaf dalam rangka kerja pelaburannya. Sebahagian daripada pendapatan dana disalurkan untuk tujuan wakaf, sekali gus membolehkan pemegang unit menyertai pelaburan yang memberi manfaat kepada masyarakat, di samping memperoleh pulangan yang kompetitif.
Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman, Pengerusi PMB Investment, menambah, “Di PMB Investment, tumpuan kami melangkaui keuntungan kewangan semata-mata. Melalui PMB-An-Nur Waqf Income Fund, kami telah membuktikan bagaimana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) mampu menjana hasil yang baik. Pencapaian ini mengesahkan pendekatan pelaburan kami yang berhemah serta keberkesanan struktur wakaf dalam menjana manfaat yang menyeluruh. Kejayaan kami bukan sahaja diukur melalui pulangan, tetapi juga melalui impak positif yang berkekalan kepada komuniti komuniti yang kami sokong.”
Pelabur boleh mula melabur dengan PMB Investment secara mudah melalui EZForm di laman web www.pmbinvestment.com.my, dan dana boleh dipindahkan melalui FPX.
Untuk maklumat lanjut berkenaan dana termasuk fi dan risiko, sila layari www.pmbinvestment.com.my atau hubungi 03-4145 3900.
-TAMAT –
Info Korporat:
PMB Investment, sebagai anak syarikat Kumpulan Pelaburan MARA yang bernaung di bawah MARA Corporation Sdn Bhd, beroperasi sebagai Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC).
Ia menguruskan 18 dana unit amanah, termasuk 1 dana borong dan 10 mandat persendirian pelaburan dalam kelas aset ekuiti dan sukuk.
Maklumat lanjut mengenai produk PMB Investment, layari www.pmbinvestment.com.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TAHA RUSYDI MOHD NAZRI
Ketua, Komunikasi Strategik
Pelaburan MARA Berhad
Tingkat 2, Wisma PMB, No 1A Jalan Lumut
50400 Kuala Lumpur
T: 03-4145 3830
F: 03-4145 3801
M: 012-2737 685
taha.rusydi@pelaburanmara.com.my