PMB INVESTMENT UMUM AGIHAN PENDAPATAN 1.56 SEN SEUNIT BAGI
PMB DANA BESTARI, BERJUMLAH RM3.2 JUTA


Kuala Lumpur, 16 October 2025 – PMB Investment Berhad (PMB Investment), sebuah Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC) berlesen di bawah Pelaburan MARA Berhad, hari ini mengumumkan agihan pendapatan bagi PMB Dana Bestari untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2025.

Dana ini telah mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak 1.56 sen seunit, dengan jumlah agihan keseluruhan bernilai RM3,210,618.35. Nilai Aset Bersih (NAB) seunit sebelum agihan ialah RM0.5448, yang diselaraskan kepada RM0.5292 selepas agihan. Agihan ini, yang dikreditkan berdasarkan tarikh selepas 30 September 2025, mewakili hasil sebanyak 3.01% berdasarkan NAB akhir.

Mengulas prestasi dana ini, En Hang Tuah Amin Tajudin, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment berkata, “PMB Dana Bestari mencatat pulangan terkumpul tiga tahun sebanyak 45.68%, atau purata pulangan tahunan sebanyak 15.22% setakat 30 September 2025. Pulangan terkumpul untuk lima tahun pula adalah sebanyak 67.90%, bersamaan purata pulangan tahunan sebanyak 13.58% setakat 30 September 2025. Pencapaian ini mencerminkan pendekatan pelaburan kami yang berdisiplin, piawaian tadbir urus yang kukuh serta komitmen terhadap penciptaan nilai mampan untuk para pelabur kami.”

Dilancarkan pada tahun 1975, PMB Dana Bestari merupakan dana ke-lapan yang diperkenalkan oleh PMB Investment. Dalam keadaan pasaran yang normal, dana ini memperuntukkan antara 70% hingga 99.5% daripada Nilai Aset Bersih (NAB) kepada ekuiti patuh Syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti yang patuh Syariah. Baki selebihnya akan dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, penempatan deposit Islam, sukuk dan/atau pelaburan lain yang dibenarkan menurut Syariah.

Peruntukan ekuiti ini disemak secara aktif dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan ekonomi dan pasaran global, serantau dan domestik. Ini termasuk penilaian menyeluruh terhadap faktor politik, ekonomi dan persekitaran perniagaan sebelum sebarang keputusan pelaburan dibuat.

Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman, Pengerusi PMB Investment berkata, “Prestasi mampannya sepanjang beberapa dekad lalu mencerminkan dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi terhadap pelaburan beretika dan pengurusan dana yang berhemah. Dalam menghadapi persekitaran pasaran yang semakin kompleks, fokus kami kekal untuk memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang unit di samping memelihara prinsip pematuhan Syariah dan integriti kewangan.”

Pelabur boleh mula melabur dengan PMB Investment secara mudah melalui EZForm di laman web www.pmbinvestment.com.my, dan dana boleh dipindahkan melalui FPX.

Untuk maklumat lanjut mengenai dana PMB Investment, fi dan risiko berkaitan, sila layari www.pmbinvestment.com.my atau hubungi 03-4145 3900.

– T A M A T –
 

Info Korporat:

PMB Investment, sebagai anak syarikat Kumpulan Pelaburan MARA yang bernaung di bawah MARA Corporation Sdn Bhd, beroperasi sebagai Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC).

Ia menguruskan 18 dana unit amanah, termasuk 1 dana borong dan 10 mandat persendirian pelaburan dalam kelas aset ekuiti dan sukuk.

Maklumat lanjut mengenai produk PMB Investment, layari www.pmbinvestment.com.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TAHA RUSYDI MOHD NAZRI
Ketua, Komunikasi Strategik
Pelaburan MARA Berhad

Tingkat 2, Wisma PMB, No 1A Jalan Lumut
50400 Kuala Lumpur

T: 03-4145 3830
F: 03-4145 3801
M: 012-2737 685
taha.rusydi@pelaburanmara.com.my

Menu