Anti Bribery Policy

1. Objektive

Dengan pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah ini, maka Kumpulan Pelaburan MARA Bhd (PMB) akan berusaha untuk mencapai objektif-objektif pengurusan rasuah berikut:

  1. Memastikan kakitangan PMB menghadiri kursus dan latihan berkaitan kesedaran mengenai kesalahan-kesalahan yang terdapat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, usaha-usaha pencegahan rasuah, salahguna kuasa, dan penyelewengan;

  2. Membentuk kakitangan yang berintegriti dan bebas rasuah sebagai dasar yang kukuh bagi mencapai matlamat PMB untuk memberikan perkhidmatan yang cekap secara berterusan;

  3. Memastikan semua aduan berhubung kelakuan tidak wajar yang diterima diuruskan dengan cekap dan telus mengikut prosedur yang telah dibangunkan;

  4. Memastikan penerimaan hadiah diisytihar mengikut pekeliling yang berkuat kuasa.

2. Takrifan

2.1 Rasuah

Rasuah dalam konteks Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) membawa maksud memberi atau menawarkan, menerima atau meminta atau setuju untuk menerima atau meminta suapan secara langsung atau tidak langsung sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.

2.2 Suapan

Suapan merujuk kepada tafsiran ‘suapan’ di bawah Seksyen 3, Akta 694:

  1. wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;

  2. apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;

  3. apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;

  4. apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan;

  5. apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;

  6. apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, termasuk perlindungan daripada penalty atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tinndakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa haka tau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan

  7. apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk meberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan a hingga f.

2.3 Kakitangan PMB 

Pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di PMB sama ada melalui lantikan tetap, sementara, pinjaman, kontrak atau sambilan.

3. Skop Manual Anti Rasuah

3.1 Skop

Polisi ini direka untuk memudahkan kakitangan dan orang awam bagi mendedahkan apa-apa kelakuan tidak wajar (salah laku atau kesalahan rasuah) melalui saluran yang betul. Salah laku rasuah ini boleh termasuk:

  1. Penipuan sebenar atau yang disyaki

  2. Mengambil atau memberi rasuah

  3. Penyalahgunaan kuasa

  4. Konflik Kepentingan

  5. Kesalahan jenayah, memeras ugut

  6. Pencurian, penyelewengan dan penyalahgunaan inventori atau aset

  7. Perlakuan pelanggaran undang-undang dan peraturan

  8. Pemalsuan dokumen

4. Tanggungjawab dan Komitmen

4.1 Komitmen

Komitmen PMB dalam menjayakan Sistem Pengurusan Antirasuah adalah untuk mencegah rasuah dan memastikan bahawa orang yang bertindak bagi pihak PMB juga mematuhi dasar antirasuah yang ditetapkan oleh PMB.

Selain itu, penglibatan pihak ketiga seperti konsultan, pembekal atau rakan kongsi secara tidak langsung akan terlibat dalam pematuhan dasar antirasuah yang diwujudkan dengan memberikan komitmen mereka melalui pematuhan semua peraturan yang ditetapkan oleh PMB.

4.2 Pengurusan Atasan

Membuat pemantauan menyeluruh serta memberi tumpuan kepada komunikasi dalaman supaya dapat mengambil tindakan-tindakan proaktif dalam menangani gejala rasuah. Pengurusan atasan perlu menzahirkan komitmen dan kepimpinan untuk:

  1. memastikan bahawa sistem pengurusan antirasuah, termasuk dasar dan objektif, ditubuhkan, dilaksanakan, diselenggara dan dikaji semula untuk menangani risiko rasuah organisasi dengan sewajarnya;

  2. memastikan integrasi keperluan sistem pengurusan antirasuah ke dalam proses organisasi;

  3. menggerakkan sumber yang mencukupi dan bersesuaian untuk operasi berkesan sistem pengurusan antirasuah;

  4. berkomunikasi secara dalaman dan luaran berhubung dasar antirasuah;

  5. berkomunikasi secara dalaman berhubung kepentingan pengurusan antirasuah yang berkesan dan mematuhi kehendak sistem pengurusan antirasuah;

  6. memastikan bahawa sistem pengurusan antirasuah direka dengan tepat untuk mencapai objektifnya;

  7. mengarahkan dan menyokong kakitangan untuk menyumbang kepada keberkesanan sistem pengurusan antirasuah;

  8. mempromosikan budaya antirasuah yang sesuai dalam organisasi;

  9. menggalakkan peningkatan berterusan;

  10. menyokong peranan pengurusan lain yang relevan untuk menunjukkan kepimpinan mereka dalam mencegah dan mengesan rasuah kerana ia terpakai kepada bidang tanggungjawab mereka;

  11. menggalakkan penggunaan prosedur pelaporan untuk rasuah yang disyaki dan sebenar. Memastikan bahawa tiada kakitangan akan mengalami pembalasan, diskriminasi atau tindakan tatatertib untuk laporan yang dibuat dengan jujur, atau atas dasar kepercayaan yang munasabah terhadap pelanggaran atau disyaki melanggar dasar antirasuah organisasi, atau kerana enggan melakukan rasuah, walaupun penolakan tersebut dapat mengakibatkan organisasi kehilangan peluang (kecuali jika individu mengambil bahagian dalam pelanggaran itu)

  12. pada jangka masa yang dirancang, melaporkan kepada badan pentadbir (jika ada) mengenai kandungan dan operasi sistem pengurusan antirasuah dan tuduhan rasuah yang serius.

4.3 Mengambil tanggungjawab dan peranan Badan Pentadbir (Governing Body), kami komited untuk:

  1. Meluluskan polisi antirasuah

  2. Memastikan strategi pengurusan PMB dan polisi antirasuah adalah sejajar

  3. Pada tempoh terancang, terima, kaji maklumat berkenaan kandungan dan operasi Sistem Pengurusan Antirasuah

  4. Memastikan keperluan sumber yang mencukupi disediakan untuk pelaksanaan SPAR yang berkesan

  5. Melaksanakan pengawasan mencukupi ke atas pelaksanaan SPAR yang berkesan

4.4 Kakitangan PMB

  1. Melaporkan sekiranya mengetahui sesuatu kesalahan rasuah atau perkara-perkara yang tidak mengikut undang-undang dan peraturan telah, sedang atau akan berlaku kepada Unit Audit Dalam & Integriti melalui saluran yang sesuai. Identiti pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711)

  2. Memahami Polisi Antirasuah PMB

  3. Memberi kerjasama sepenuhnya semasa prosiding siasatan dijalankan

  4. Menghadiri latihan berkaitan pematuhan Polisi Antirasuah

  5. Memahami Polisi Tidak Menerima Hadiah

  6. Memahami Akta 520

  7. Mana-mana individu yang telah melaporkan berkaitan kesalahan rasuah hendaklah tidak mendedahkan maklumat atau pelaporan tersebut kepada mana-mana pihak yang lain. Ia bagi memastikan apa-apa keterangan dan bahan bukti yang berkaitan kesalahan tersebut daripada dimusnahkan

4.5 Komitmen Antirasuah

Berhubung dengan rakan-rakan perniagaan yang tidak dikawal oleh PMB, PMB akan melaksanakan prosedur seperti berikut:

  1. PMB hendaklah menentukan sama ada syarikat bersekutu mempunyai kawalan anti- rasuah yang menguruskan risiko rasuah yang berkaitan;

  2. di mana sekutu perniagaan tidak mempunyai kawalan antirasuah, atau tidak mungkin untuk mengesahkan sama ada ia ada di tempatnya:

    1. jika praktik, PMB hendaklah menghendaki syarikat bersekutu untuk melaksanakan kawalan antirasuah berhubung dengan transaksi, projek atau aktiviti yang berkaitan; atau

    2. di mana tidak praktikal untuk menghendaki rakan perniagaan untuk melaksanakan kawalan antirasuah, PMB hendaklah mengambil kira, menilai dan menguruskan risiko rasuah hubungan dengan rakan perniagaan tersebut.

5. Panduan Apabila Berhadapan Dengan Isu Perlakuan Rasuah

5.1 Perlakuan Rasuah

Perlakuan-perlakuan berpotensi dan berunsur rasuah adalah seperti berikut :

  Transactive   Persetujuan untuk memberi dan menerima rasuah
  Extortive   Ugutan dengan tujuan untuk tidak mengambil       tindakan
  Defensive   Bayaran dengan tujuan mendapatkan perlindungan
  Investive   Bayaran untuk menjamin balasan atau habuan     pada     masa hadapan
  Nepotisme   Penyalahgunaan kuasa dan kedudukan untuk   kepentingan peribadi, saudara, keluarga atau sekutu
  Autogenic   Perlakuan rasuah yang telah menjadi amalan dan     budaya dalam organisasi
  Supportive   Penempatan proksi atau kroni di tempat strategik   (hotspot) dalam organisasi

 

Dalam usaha menutup ruang dan peluang rasuah, kakitangan PMB hendaklah mengambil tindakan seperti berikut:

  1. JANGAN MINTA
  Kakitangan PMB dilarang meminta atau menerima apa-apa bentuk rasuah
  2. TOLAK  Kakitangan PMB hendaklah menolak apa-apa tawaran atau pemberian rasuah
  3. LAPOR   Kakitangan PMB hendaklah dengan segera melaporkan apa-apa perlakuan rasuah kepada Ketua Jabatan atau Fungsi Pematuhan SPAR atau SPRM

 

5.2 Penilaian Risiko Rasuah

PMB menggunakan penilaian risiko untuk membantu mengenal pasti dan menilai risiko rasuah terhadap aktiviti-aktiviti yang membawa kepada perlakuan rasuah. Penilaian risiko adalah penting sebagai rujukan untuk pihak penguatkuasaan undang-undang dan pengawal selia dalam pengumpulan bukti sekiranya pihak PMB dikaitkan dengan sebarang aktiviti rasuah.


6. Kesalahan-kesalahan Rasuah 

Kesalahan-kesalahan rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta 694 adalah seperti berikut:

6.1 Kesalahan menerima suapan di bawah Seksyen 16, Akta 694

Mana-mana orang secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima bagi dirinya atau orang lain apa-apa suapan sebagai dorongan untuk atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan apa-apa perkara atau transaksi; atau

Mana-mana orang secara rasuah memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang sama ada bagi faedah dirinya atau orang lain apa-apa suapan sebagai dorongan untuk atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan apa-apa perkara atau transaksi.

 

6.2 Kesalahan memberi atau menerima suapan oleh ejen di bawah Seksyen 17, Akta 694

Mana-mana orang sebagai seorang ejen secara rasuah bersetuju untuk menerima atau memperoleh daripada mana-mana orang untuk dirinya atau orang lain, apa-apa suapan sebagai dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan, berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya; atau

Mana-mana orang sebagai seorang ejen memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan, berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.

 

6.3 Kesalahan menerima suapan di bawah Seksyen 16, Akta 694

Mana-mana orang yang memberi seseorang ejen, atau sebagai seorang ejen menggunakan, dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya, apa-apa resit, akaun atau dokumen lain yang prinsipalnya mempunyai kepentingan, dan dia mempunyai sebab untuk mempercayai mengandungi apa-apa pernyataan yang palsu atau silap tentang apa-apa butir matan, dan yang dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.

6.4 Kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan di bawah Seksyen 23, Akta 694

Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya.

6.5 Hukuman di bawah Seksyen 24, Akta 694

6.5.1 Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah  Seksyen 16, 17, 21 dan 23 Akta 694, apabila disabitkan boleh:

      1. dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun; dan

      2. didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

6.5.2 Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta 694, apabila disabitkan boleh:

      1. dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun; dan

      2. didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu, atau silap, atau sepuluh ribu ringgit,mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

6.6 Kewajipan melaporkan transaksi penyogokan di bawah Seksyen 25, Akta 694

6.6.1 Mana-mana orang yang diberi, dijanjikan, atau ditawarkan suapan hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu, berserta dengan nama, jika diketahui, orang yang memberi, menjanjikan atau menawarkan suapan itu kepadanya kepada pegawai SPRM. 

6.6.2  Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen tersebut apabila disabitkan boleh: 

        1. didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit malaysia; atau
        2. dipenjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya

6.6.3 Mana-mana orang yang daripadanya suapan telah diminta atau diperoleh atau suatu cubaan dibuat untuk memperoleh suapan itu, hendaklah melaporkan permintaan atau perolehan, atau cubaan untuk memperoleh suapan itu berserta dengan perihal yang lengkap dan benar dan, jika diketahui, nama orang yang meminta, atau memperoleh, atau cuba memperoleh, suapan daripadanya kepada pegawai SPRM. 

6.6.4  Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen tersebut apabila disabitkan boleh:  

        1. didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit; atau
        2. dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 
  1.  

6.7 Kesalahan memalsukan dokumen di bawah Seksyen 465, Kanun Keseksaan (Akta 574)

Mana-mana orang yang melakukan pemalsuan hendaklah dihukum dengan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali

7. Undang-Undang Dan Peraturan Lain Yang Berkuatkuasa 

7.1 Undang-undang dan peraturan lain berkaitan perlakuan rasuah adalah seperti berikut:

i. Seksyen 3, Akta 694:

  1. mana-mana kesalahan di bawah Akta 574 yang dinyatakan dalam Jadual – Perenggan 3 (a), tafsiran “kesalahan ditetapkan” di bawah Akta 694;

  2. kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 Akta Kastam 1967 (Akta 235);

  3. kesalahan di bawah Bahagian III Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5);

  4. sesuatu percubaan untuk melakukan mana-mana kesalahan yang disebut dalam perenggan (a) hingga (c); atau

  5. sesuatu persubahatan atau komplot jenayah untuk melakukan (sebagaimana istilah yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan) mana-mana kesalahan yang disebut dalam perenggan (a) hingga (c), sama ada atau tidak kesalahan itu dilakukan berbangkit daripadanya.

ii. Seksyen 17A, Akta 694.

  1. Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

  2. Garis Panduan Mengenai Cara Menguruskan Kes-kes Tatatertib Yang Dirujuk Oleh Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

  3. Seksyen 213-215 Kanun Keseksaan – mengambil hadiah, menawarkan hadiah; Seksyen 403-409 Kanun Keseksaan – pecah amanah jenayah.

  4. Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA)

  5. Ordinan Darurat No. 22, 1970 – Kesalahan salah guna kuasa dan percanggahan kepentingan.

8. Pertanyaan dan Pelaporan 

Sebarang aduan boleh dilaporkan menerusi saluran berikut:

1. Hadir sendiri untuk berjumpa atau menghubungi pegawai-pegawai berikut;

i. Norzahari Zakaria
   Ketua, Audit & Integriti
   Tel : 03 – 2785 9860

i. Rozianah Rosely
   Pengurus, Audit & Integriti
  Tel : 03 – 2785 9861

2. Emelkan aduan ke alamat emel integriti@pelaburanmara.com.my ; atau

3. Menghantar surat ke alamat:

Pelaburan MARA Bhd
Bahagian Audit & Integriti
Level 20, 1 Sentral, Jalan Rakyat
50470 Kuala Lumpur

9. Penutup 

Pematuhan terhadap Polisi Antirasuah ini dapat mencapai sasaran “ke arah sifar rasuah” seterusnya menjadi pemangkin kepada kecekapan dan ketelusan pengurusan berteraskan prinsip governans, integriti dan antirasuah. Secara tidak langsung, pematuhan kepada Polisi ini akan menjadikan PMB antara agensi peneraju dalam pelaksanaan inisiatif antirasuah.